Seminar Sekeluarga Tolak Pornografi @ USIM
Tarikh: 29 April 2025 (Selasa)
Masa: 8:30 pagi – 12:30 tengahari
Tempat: Dewan Kuliah Fakulti 1.2 (DKF 1.2), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Anjuran: Pertubuhan SALWA Malaysia (SALWA)
Kerjasama: Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM & Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)
Nilai, Negeri Sembilan – Seminar Sekeluarga Tolak Pornografi (SToP) anjuran Pertubuhan SALWA Malaysia dengan kerjasama Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM serta Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah berlangsung dengan jayanya pada 29 April 2025 di Dewan Kuliah Fakulti 1.2, USIM.
Program ini telah dirasmikan oleh Prof Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani, Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menekankan peranan institusi akademik dan masyarakat sivil dalam menangani isu-isu moral yang semakin mencabar, khususnya pengaruh pornografi dalam era digital.
Ucapan aluan telah disampaikan oleh Pn. Hjh. Nordiran Idris, Pengerusi Pertubuhan SALWA Malaysia, yang menyeru kepada kerjasama berterusan antara NGO, institusi pendidikan dan pihak berkuasa agama dalam memperkukuh ketahanan moral keluarga.
Forum Ilmiah & Perkongsian Pakar
Program diteruskan dengan sesi pembentangan yang mengetengahkan tiga panelis berwibawa:
-
Prof. Madya Ts. Dr. Nur Izura Udzir, Pakar Keselamatan Siber, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, UPM, membentangkan tajuk “Pornografi: Ancaman Tersembunyi kepada Kesejahteraan Keluarga”, yang menekankan bagaimana kandungan lucah boleh memusnahkan hubungan kekeluargaan dan kesihatan mental individu.
-
Tuan Kamarul Azami bin Mohd Zaini, Setiausaha WADAH Negeri Selangor, menyampaikan pandangan dari sudut strategi masyarakat menerusi tajuk “Strategi Pencegahan dan Kawalan Akses Pornografi”.
-
Pn. Norazizah Abdul Aziz, dari Bayt Al-Rahmah, mengetengahkan tajuk “Pornografi dan Seks Bebas: Ancaman kepada Keluarga dan Nilai Sosial”, yang membuka perbincangan tentang kesan sosial yang lebih luas.
Objektif Tercapai, Komuniti Diperkuat
Antara objektif utama seminar ini adalah untuk:
-
Memberi kefahaman yang jelas tentang bahaya pornografi serta kesannya terhadap individu dan keluarga.
-
Membantu peserta mengenalpasti tanda awal ancaman moral dalam keluarga.
-
Mendedahkan kaedah mendidik anak-anak berkenaan literasi digital dan nilai-nilai murni.
-
Membina rangkaian sokongan komuniti untuk perkongsian pengalaman, cabaran dan strategi pencegahan.
Seramai 180 orang peserta terdiri daripada ibu bapa, pendidik, aktivis NGO serta masyarakat umum telah hadir dan memberikan maklum balas yang sangat positif terhadap pengisian dan keberkesanan program ini.
Program ini membuktikan bahawa kesedaran dan tindakan kolektif adalah penting dalam memastikan keselamatan digital dan moral keluarga terus terpelihara. Diharapkan inisiatif seumpama ini dapat diteruskan dan diperluas di masa akan datang demi membina masyarakat yang sihat dan berakhlak tinggi.