SEMINAR INSPIRASI WANITA MADANI: MENYULAM PERADABAN UMMAH
SEMINAR INSPIRASI WANITA MADANI: MENYULAM PERADABAN UMMAH
Tarikh: 04 Oktober 2025 / 12 Rabiulakhir 1447H (Sabtu)
Masa: 8:30 pagi – 4:30 petang
Tempat: Royal Park Hotel, UNITEN, Bangi
Anjuran: Pertubuhan SALWA Malaysia (SALWA)
Sempena: Majlis Perwakilan SALWA Kebangsaan (MPSK 2025)
Peserta: Pimpinan dan ahli Pertubuhan SALWA Malaysia dari seluruh negara
PENGENALAN
Seminar Inspirasi Wanita Madani: Menyulam Peradaban Ummah telah diadakan bersempena Majlis Perwakilan SALWA Kebangsaan (MPSK) 2025. Program ini menghimpunkan pimpinan serta ahli SALWA dari seluruh negara bagi memperkukuh peranan wanita sebagai agen pembinaan ummah dan penggerak perubahan dalam masyarakat madani. Seminar ini juga menjadi wadah perkongsian ilmu dan pengalaman oleh tokoh-tokoh terkemuka dalam bidang keilmuan, keagamaan dan kepimpinan wanita.
OBJEKTIF PROGRAM
✅Memberi inspirasi kepada wanita untuk memperkukuh peranan mereka dalam bidang kepimpinan dan keilmuan.
✅Meningkatkan kefahaman tentang keseimbangan antara tanggungjawab keluarga, kerjaya dan masyarakat.
✅Menyemai nilai kepimpinan berasaskan mizan (keseimbangan) dan kemuliaan insan dalam kerangka Islam.
Ucap Utama
YB. Dr. Zulkifli Hassan
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
Tajuk: Peranan Wanita dalam Bidang Keilmuan dan Pembinaan Negara
Dalam ucap utama beliau, YB. Dr. Zulkifli Hassan menekankan bahawa wanita memainkan peranan penting dalam sejarah peradaban Islam, bukan sahaja sebagai pendidik dan penyebar ilmu, tetapi juga sebagai pemimpin yang berwibawa dalam pelbagai bidang. Beliau mengimbau contoh kepimpinan wanita dalam sejarah Islam yang menunjukkan bahawa partisipasi wanita dalam pentadbiran dan kepimpinan negara amat signifikan dalam membina tamadun yang seimbang dan berakhlak.
Beliau turut menegaskan bahawa wanita perlu terus diberi ruang dan peluang untuk menjadi sebahagian daripada proses membuat keputusan dalam masyarakat dan negara. Dalam menghadapi cabaran semasa, wanita harus memiliki kebijaksanaan dalam mengurus krisis dan membuat keputusan berasaskan hikmah serta nilai Islam. Menurut beliau, masyarakat masa kini amat memerlukan thought leaders wanita yang mampu memperjuangkan konsep human dignity atau kemuliaan manusia sebagai asas kepada perubahan sosial dan pembangunan negara. Golongan wanita yang berilmu, berprinsip dan berpandangan jauh diyakini dapat menerajui perubahan yang lebih lestari dan berakhlak dalam membina negara madani.
Slot 2
Sahibus Samahah Ustaz Ahmad Fawwaz Fadzil
Mufti Wilayah Persekutuan
Tajuk: Fiqh Al-Mizan: Wanita, Keluarga dan Masyarakat
Dalam slot kedua, Sahibus Samahah Ustaz Ahmad Fawwaz Fadzil menghuraikan konsep Fiqh al-Mizan yang menekankan keseimbangan dalam setiap aspek kehidupan, termasuk hubungan antara lelaki dan wanita dalam keluarga serta masyarakat. Beliau menjelaskan bahawa kepimpinan bukanlah tanggungjawab yang terbatas kepada mereka yang memegang jawatan, sebaliknya merupakan amanah yang perlu digalas oleh setiap individu mengikut peranan masing-masing.
Menurut beliau, partisipasi wanita dalam pelbagai sektor kehidupan adalah suatu keperluan dan bukti keseimbangan yang ditekankan oleh Islam. Ustaz Ahmad Fawwaz menegaskan bahawa wanita tidak perlu berlumba dengan lelaki dalam membuktikan kemampuan, sebaliknya kedua-duanya diciptakan dengan peranan yang saling melengkapi. Prinsip mizan atau keseimbangan ini adalah asas kepada keharmonian sosial dan pembangunan masyarakat yang adil.
Beliau turut menekankan konsep leadership by vision, iaitu kepimpinan yang berpandangan jauh, berasaskan hikmah serta berlandaskan nilai agama. Menurut beliau, masyarakat yang seimbang akan lahir daripada pemimpin yang memahami nilai keadilan dan mampu melihat masa depan dengan pandangan yang berasaskan wahyu dan ilmu.
Slot 3
Pn. Badariah Ismail
Penasihat SAFWAH-SALWA
Tajuk: Keseimbangan Keluarga dan Kerjaya dalam Pembinaan Kepimpinan Wanita Muda
Dalam slot ketiga, Puan Badariah Ismail menyentuh isu keseimbangan antara kerjaya dan keluarga dalam kalangan wanita, khususnya dalam membina generasi kepimpinan wanita muda. Beliau menekankan bahawa untuk mencapai keseimbangan tersebut, seseorang wanita perlu memahami keutamaan dalam setiap fasa kehidupan dan menilai semula kepraktisan tindakan berdasarkan situasi semasa.
Beliau menjelaskan bahawa setiap perbuatan dan pilihan yang dilakukan hendaklah disertai dengan niat yang ikhlas dan matlamat yang jelas. Dengan kefahaman terhadap hak serta tanggungjawab masing-masing, wanita akan dapat mengatur kehidupan dengan lebih harmoni tanpa mengabaikan mana-mana peranan yang dipikul.
Pn. Badariah turut mengingatkan para peserta tentang pentingnya memberi perhatian penuh terhadap perkara yang sedang dihadapi atau individu yang berada di hadapan mata — prinsip “being present” yang membolehkan seseorang menunaikan tanggungjawab dengan sepenuh hati. Menurut beliau, wanita berperanan besar dalam membentuk generasi dan kepimpinan masa depan, dan keseimbangan antara kerjaya serta keluarga adalah kunci kepada kejayaan itu.
Secara keseluruhannya, Seminar Inspirasi Wanita Madani: Menyulam Peradaban Ummah telah berjaya mencapai objektif penganjurannya. Program ini menjadi wadah pencerahan minda yang memperkukuh kefahaman peserta tentang kepimpinan berasaskan nilai Islam, keseimbangan peranan wanita dalam keluarga dan masyarakat, serta keperluan melahirkan barisan wanita berwawasan yang mampu memimpin perubahan.
Selain itu, seminar ini juga memperkukuh ukhuwah dan jaringan kepimpinan dalam kalangan ahli SALWA di seluruh negara. Ia turut membuka ruang perbincangan strategik untuk memperkasakan peranan wanita Islam dalam membina negara madani yang berteraskan keadilan, ilmu dan nilai kemanusiaan sejagat.