KENYATAAN MEDIA

Persedian Menangani Ibubapa yang Lanjut Usia

Malaysia dijangka menjadi negara tua pada 2030, dengan 15.3% penduduk berumur lebih 60 tahun. Pada masa yang sama, peratusan penduduk berumur 65 tahun dan lebih meningkat sedikit, dari 7.0% kepada 7.3%. Walaupun jangka hayat rakyat Malaysia menurun sejak 2020 disebabkan oleh peningkatan kematian akibat pandemik COVID-19, lelaki berusia 65 tahun pada 2022 dijangka hidup hingga 79.2 tahun, manakala wanita hingga 81.4 tahun.

Dalam menghadapi transformasi menjadi negara tua, aspek penting seperti pembangunan minda dan fizikal warga emas perlu diberi perhatian. Warga emas berisiko tinggi menghidap penyakit fizikal dan mental, termasuk kemurungan, yang dipengaruhi oleh faktor seperti keupayaan mengurus diri. Program-program yang menggembirakan mereka seperti aktiviti bersama keluarga, riadhah, gotong-royong serta berusrah dapat meningkatkan kesihatan mereka dan memberi ruang untuk mereka berinteraksi secara sihat.

Pembangunan prasana fizikal juga penting, termasuk kemudahan pengangkutan dan sokongan perubatan yang sesuai untuk warga emas. Malaysia menyediakan pelbagai kemudahan, termasuk Bantuan Warga Emas (BWE) yang memberi bantuan kewangan sebanyak RM500 sebulan serta Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan Unit Penyayang Warga Emas (UPWE) untuk meningkatkan kesejahteraan mereka.

Dalam menghadapi situasi ini juga, peranan keluarga khususnya anak-anak dan saudara sekelilinglah yang lebih diutamakan. Antara persediaan yang perlu dipupuk dari segi agama adalah melatih diri untuk bersabar dalam menangani ibubapa yang telah lanjut usia. Ini selari dengan ayat Al-Qur’an surah Al-Isra:23 agar berlemah lembut dan tidak berkasar kepada orang tua.

Artinya: Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.

Dalam membicarakan ayat ini juga, Sheikh Muhammad Hasan Hito dalam kitabnya Al- Wajiz fi Usul Fiqh membincangkan aspek ini dalam kategori qiyas awlawi iaitu, haramnya seorang anak memukul ibubapanya. Tindakan ini adalah dilarang, kerana sedangkan berkata ‘ah’ pun tidak dibenarkan, apatah lagi tindakan memukul yang lebih keras. Di sini, furu’ dianggap lebih utama daripada al-asl,iaitu larangan adalah terpakai kerana tindakan yang berlaku adalah melebihi daripada yang dinyatakan dalam nas.

Maka, anak-anak perlu pastikan hak ibubapa yang telah lanjut usia dijaga dengan baik dari segi kemaslahatan mereka, sayangi dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihi kita dari kecil dan menjaga kita hingga dewasa. Berkata dengan bahasa yang baik kepada mereka dan berlemah lembut dengan mereka, walaupun interaksi dengan mereka mungkin akan mengambil masa kerana faktor usia membuatkan mereka mungkin kurang faham perkataan kita atau pendengaran mereka yang telah kurang jelas. Jadilah anak-anak yang soleh dan solehah dan ambillah peluang untuk berbakti kepada orang tua selagi mereka masih ada agar keberkatan dan keredhaan Allah terus lestari dalam kehidupan kita, In shaa Allah.

Rujukan:

1. Surah Al-Isra Ayat 23 di https://tafsirweb.com/4627-surat-al-isra-ayat-23.html (akses 4.2.2025)
2. Negara Tua 2020: Persediaan Prasarana Minda dan Fizikal Warga Emas di https://www.mkn.gov.my/web/ms/2023/05/08/negara-tua-2030-persediaan-prasana-minda-dan-fizikal-warga-emas/ (akses 4.2.2025)
3. Muhammad Hasan Hito, Al-Wajiz fi Usul Tashri’ Al-Islami.

Dr. Asma Hakimah Ab Halim

Setiausaha Kehormat
Pertubuhan SALWA Malaysia