BERITA

Konvensyen Dakwah Negara Himpunkan Pelbagai Pihak Bincang Cabaran Sosial Umat

Kuala Lumpur, 14 Januari 2026 - Konvensyen Dakwah Negara: Mendepani Isu Sosial Umat telah berjaya dianjurkan pada 14 Januari 2026 (Rabu) bertempat di Kingston 10 @ Unicorn Hotel, Kuala Lumpur. Program berskala nasional ini dianjurkan oleh Pertubuhan SALWA Malaysia dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) sebagai wadah perbincangan strategik dalam menangani pelbagai isu sosial umat Islam yang semakin mencabar dalam era globalisasi dan pendigitalan.

Konvensyen ini menghimpunkan seramai 226 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk penjawat awam, guru dan ibu bapa, pendakwah serta aktivis masyarakat, wakil pertubuhan bukan kerajaan, mahasiswa dan belia, selain pihak berkuasa tempatan serta komuniti masjid. Kepelbagaian peserta ini mencerminkan keperluan pendekatan dakwah yang bersifat inklusif dan merentasi sektor bagi mendepani realiti sosial semasa.

Penganjuran konvensyen ini dilihat amat bertepatan dengan situasi semasa apabila arus globalisasi, pengaruh media digital dan perubahan gaya hidup telah memberi kesan besar terhadap pembangunan sahsiah umat Islam. Isu-isu seperti keruntuhan institusi keluarga, gejala sosial dalam kalangan remaja, krisis akhlak serta tekanan hidup moden menuntut satu pendekatan dakwah yang lebih strategik, berhemah dan berpandukan Maqasid Syariah. Sehubungan itu, konvensyen ini dirangka bagi menghimpunkan ilmuwan, pengamal dakwah, NGO Islam serta agensi kerajaan untuk membincangkan penyelesaian yang praktikal dan selari dengan realiti masyarakat hari ini.

Antara pengisian utama konvensyen ialah forum bertajuk Krisis Sosial dan Implikasi Kepada Pembangunan Negara yang menampilkan dua panelis berpengalaman. YBhg. Puan Imlah Abd Aziz, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Dakwah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), telah membentangkan aspek-aspek utama krisis sosial termasuk statistik berkaitan keruntuhan keluarga, kemiskinan, gejala negatif serta cabaran akidah, di samping menekankan peranan institusi agama dalam menangani krisis tersebut. Sementara itu, YBhg. Insp. Roselina Abd Manaf daripada Cawangan Khas Bukit Aman, Polis Diraja Malaysia (PDRM), telah mengupas ancaman krisis sosial dari sudut keselamatan yang merangkumi dimensi sosial, politik, ekonomi serta elemen perisikan yang boleh menjejaskan kestabilan negara.

Konvensyen ini turut menampilkan pembentangan bertajuk Membina Umat: Agama dan Dakwah sebagai Teras Nilai oleh YBhg. SS Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil, Mufti Wilayah Persekutuan, yang menegaskan kepentingan agama dan dakwah sebagai asas pembentukan nilai serta pemulihan moral masyarakat. Selain itu, sesi Dakwah sebagai Gerakan Masyarakat Sivil: Menangani Isu Sosial Umat yang disampaikan oleh YBhg. Dato’ Haji Ahmad Azam Ab Rahman, Presiden WADAH Pencerdasan Umat Malaysia, menyorot peranan dakwah sebagai kekuatan masyarakat sivil dalam membina solusi lestari terhadap isu sosial umat.

Majlis perasmian penutup telah dimulai dengan ucapan dari Timbalan Yang di Pertua YADIM, Prof Madya Dr Adi Anuar bin Azmin@Che Wan dan disempurnakan oleh YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Dalam ucapannya, beliau menyentuh cabaran baharu dakwah kepada golongan netizen yang banyak dipengaruhi oleh media sosial serta menekankan peranan pendakwah dan pentadbir agama dalam mengembalikan roh kemanusiaan dan ketuhanan sebagai asas pemulihan masyarakat. Beliau turut menekankan kepentingan memanfaatkan teknologi digital dan kecerdasan buatan secara beretika bagi memperkukuh penyampaian dakwah pada masa kini.

Secara keseluruhannya, konvensyen ini telah memberikan impak yang signifikan kepada para peserta apabila mereka memperoleh kefahaman yang lebih jelas dan menyeluruh berkaitan permasalahan sosial umat Islam. Program ini juga berjaya mencetuskan idea-idea intervensi dakwah yang lebih segar dan efektif, di samping membentuk jaringan kerjasama antara tokoh, NGO serta agensi kerajaan. Hasil perbincangan dan pengisian turut menghasilkan rumusan cadangan tindakan yang boleh dilaksanakan oleh organisasi masing-masing, sekali gus mengukuhkan kefahaman masyarakat tentang kepentingan dakwah yang berasaskan hikmah dan pendekatan mesra komuniti.


Klik untuk Galeri Program

Suzana Binti Ja'afar

Teras Penerbitan, ICT & Media