BERITA

Seminar Inspirasi Keluarga Madani: Dari Rumah ke Negara

KOTA KINABALU, 13 Disember 2025Seminar Inspirasi Keluarga Madani telah berjaya dianjurkan pada Sabtu bermula jam 7.30 pagi hingga 1.00 tengah hari bertempat di Dewan Sipadan, Sabah International Convention Center (SICC), dengan menghimpunkan seramai 720 peserta terdiri daripada wakil badan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang awam.

Program ini dianjurkan secara bersama oleh Pertubuhan Kebajikan Amal Isteri-Isteri Harapan Malaysia (KASIH Malaysia) dan Pertubuhan SALWA Malaysia (SALWA) dengan sokongan padu pelbagai rakan strategik antaranya Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS), Sabah Credit Corporation, Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS), Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Negeri Sabah, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Cawangan Sabah, Kelab Surirumah dan Staf Wanita Universiti Malaysia Sabah (KESUMBA), Persatuan Wanita Jabatan Pelajaran Negeri Sabah (PeWANIS), Persatuan Sukarelawan dan Kebajikan Wanita Sabah (UKKWA), Sabah Tourism Board, Tourism Malaysia Sabah serta Persatuan Komuniti Pendidik Madani.

Seminar ini bertujuan memberi pengetahuan dan kefahaman kepada masyarakat mengenai konsep Keluarga Madani atau keluarga ideal yang dibina berasaskan nilai-nilai murni, Maqasid Syariah dan prinsip Fiqh Mizan. Selain itu, penganjuran program ini turut mengupas peranan keluarga sebagai asas pembinaan masyarakat seimbang dan negara berperadaban, di samping berkongsi amalan-amalan praktikal yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan berkeluarga bagi mencapai kesejahteraan rohani dan material.

Program dimulakan dengan ucapan aluan oleh YBrs. Puan Hjh. Nordiran Idris, Pengerusi Pertubuhan SALWA Malaysia, yang menekankan kepentingan pengukuhan institusi keluarga sebagai asas pembentukan masyarakat MADANI. Sesi pertama seminar menampilkan Puan Hjh. Badariah Ismail, Pengasas Institut Pendidikan Dzul Iman merangkap Ahli Lembaga Pentadbir Dzul Iman Quranic Life School dan Khalifah Model School Secondary, yang membincangkan topik “Keluarga Madani: Membina Peradaban Dari Rumah”. Beliau menegaskan bahawa peradaban negara yang kukuh bermula daripada pembinaan nilai dan akhlak dalam institusi keluarga.

Sesi kedua pula menyentuh isu keseimbangan peranan, nilai dan aspirasi wanita dalam keluarga yang disampaikan oleh Puan Hjh. Mahanom Basri, Pengerusi Pertubuhan Anak Komuniti Keluarga Malaysia (PEAKOM) merangkap Pakar Industri Negara dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak. Perkongsian beliau menumpukan kepada peranan strategik wanita sebagai pendidik utama dalam keluarga tanpa mengabaikan pembangunan kendiri dan sumbangan kepada masyarakat.

Kemuncak seminar adalah forum bertajuk “Peranan Keluarga Madani dalam Malaysia MADANI – Dari Rumah ke Negara” yang menampilkan barisan panel terdiri daripada YBhg. Datuk Jannie Lasimbang, Pengerusi Koperasi Pembangunan Desa Negeri Sabah, YBhg. Dato’ Prof. Dr. Kassim Hj. Mansor, Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah, serta YBhg. Prof. Dr. Hjh. Arsiah Bahron, Profesor Kehormat UNISEL dan Ketua SALWA Sabah. Forum ini dikendalikan oleh Encik Abdul Manap Mahmud, Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Sabah, yang mengupas peranan keluarga sebagai pemangkin pembangunan sosial dan negara secara menyeluruh.

Ucapan perasmian penutup telah disampaikan oleh YABhg. Datin Seri Panglima Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail, Pengerusi KASIH Malaysia. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa setiap keluarga berdepan cabaran tersendiri yang menuntut kebijaksanaan serta kesabaran, lebih-lebih lagi apabila realiti kehidupan masa kini dengan tuntutan kerjaya dan ekonomi semakin menjejaskan masa berkualiti bersama keluarga. Beliau turut menyentuh perbezaan cabaran yang dilalui oleh generasi terdahulu berbanding generasi hari ini serta menekankan peranan keluarga sebagai pemantau utama dalam pembentukan sahsiah anak-anak. Menurut beliau, keluarga seharusnya dibina atas dasar rahmah, ketenangan jiwa dan iman, apatah lagi Malaysia dijangka menjadi negara tua menjelang tahun 2048 yang memerlukan pendekatan menyeluruh dengan mengambil kira keunikan negeri dan masyarakat setempat.

Secara keseluruhannya, Seminar Inspirasi Keluarga Madani diharap dapat memperkukuh kefahaman dan kesedaran masyarakat, khususnya ibu bapa dan penggerak NGO wanita, mengenai konsep Keluarga MADANI. Program ini juga berpotensi mengupaya pelbagai pihak untuk bekerjasama secara strategik dalam menjayakan misi dan visi pembangunan Malaysia MADANI, di samping mengembalikan peranan keluarga sejahtera sebagai tonggak utama pembentukan insan berakhlak, bersatu dan berdaya saing demi kemajuan negara.


Lagi gambar program

Suzana Binti Ja'afar

Teras Penerbitan, ICT dan Media