
Berkaitan Isu Ehati Dan Pemerkasaan Wanita Yang Menggugat Akidah Umat
Pertubuhan SALWA Malaysia memandang serius perkembangan terkini berkaitan platform eHati serta program-program yang dijalankan, yang telah menimbulkan pelbagai kekeliruan dan keresahan dalam kalangan masyarakat, khususnya wanita Muslimah di Malaysia.
Sebagai sebuah pertubuhan wanita Muslim yang berpegang teguh kepada prinsip syariah dalam memperjuangkan keadilan dan kesejahteraan Wanita dan institusi keluarga, kami menolak sebarang bentuk pemerkasaan wanita yang mengabaikan prinsip asas akidah dan syariah Islam khususnya yang menyuburkan ideologi yang tidak berlandaskan wahyu, membawa aktiviti seksual luar batas dan mengalihkan fokus wanita dari nilai keluarga yang suci dan harmoni.
Salwa Malaysia menyokong usaha pihak berkuasa agama yang telah memberikan penjelasan terhadap isu ini. Pihak berkuasa agama dan penguatkuasa yang berkaitan harus lebih tegas dalam mengambil tindakan segera terhadap program-program seumpama ini supaya pihak-pihak terbabit tidak sewenang-wenangnya menormalisasi maksiat dan mempromosi gaya hidup bebas yang bertentangan dengan fitrah manusia dan nilai leluhur hanya akan mengancam asas perkahwinan dan menggugat kesejahteraan institusi keluarga.
Salwa Malaysia turut ingin membuat seruan kepada para suami selaku ketua rumahtangga agar bermuhasabah dan berusaha untuk berfungsi sebagai suami yang bertanggungjawab, menjaga nafkah zahir dan batin kepada para isteri serta bermu’asyarah dengan baik dan harmoni agar kerukunan rumahtangga terus terpelihara. Suamilah yang berperanan sebagai ketua mengemudi rumahtangga dan menjaga keluarga agar sentiasa berada di atas landasan syariah sebagaimana firman Allah dalam surah At-Tahrim ayat 6:
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, dan keras, yang tidak durhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”
Akhirnya, Salwa Malaysia menyeru supaya lebih banyak program-program yang membantu emosi dan kesihatan mental Wanita dianjurkan dan dirancakkan oleh pelbagai pihak samada agensi-agensi kerajaan, swasta atau pihak NGO sendiri. Kestabilan mental dan emosi sangat penting bagi Wanita untuk membentuk rumahtangga yang utuh dan sejahtera. Kami juga mengajak wanita Muslim untuk terus memperkasa diri dengan ilmu yang benar, bukan dengan retorik yang memisahkan kita daripada jalan yang lurus. Sebarang tindakan memperjuangkan hak wanita haruslah berpaksikan iman, adab, dan panduan wahyu – bukan semata-mata agenda kebebasan yang terpisah daripada nilai-nilai Islam.
Sekian, terima kasih.