ARTIKEL

Majlis Makan Malam, Inspirasi Wanita Madani: Menyulam Peradaban Ummah

SALWA raikan sumbangan, dedikasi dan perjuangan wanita dalam dakwah serta masyarakat


BANGI, 4 Oktober 2025 – Pertubuhan SALWA Malaysia (SALWA) telah menganjurkan Majlis Makan Malam Inspirasi Wanita Madani: Menyulam Peradaban Ummah bertempat di Royal Park Hotel, UNITEN, Bangi. Majlis yang berlangsung dari jam 8.30 malam hingga 10.30 malam ini diadakan bersempena Majlis Perwakilan SALWA Kebangsaan (MPSK 2025) dan menghimpunkan pimpinan serta ahli SALWA dari seluruh negara dalam suasana penuh penghargaan dan kekeluargaan.

Majlis yang berkonsepkan penghargaan dan inspirasi ini dimulakan dengan ucapan aluan oleh Datin Hajah Rosnih Binti Nasir, selaku Pengarah Majlis Makan Malam Inspirasi Wanita Madani. Beliau menzahirkan rasa syukur atas kejayaan penganjuran program yang bukan sahaja mengeratkan silaturrahim dalam kalangan ahli SALWA, tetapi juga menjadi medan pengiktirafan kepada tokoh-tokoh wanita yang telah banyak berjasa dalam perjuangan dakwah dan pembangunan masyarakat.

Ucapan sambutan pula disampaikan oleh Hajah Nordiran Idris, Pengerusi Pertubuhan SALWA Malaysia. Dalam ucapannya, beliau menegaskan komitmen SALWA untuk terus memperkasa kepimpinan wanita dan memperluas jaringan kerja dakwah melalui pelbagai inisiatif yang inklusif serta berkesan. Beliau turut mengajak semua ahli agar terus istiqamah dalam perjuangan memartabatkan wanita Islam sebagai tulang belakang pembinaan peradaban ummah yang harmoni dan berdaya saing.

Majlis turut diserikan dengan Bicara Inspirasi oleh Dato’ Haji Ahmad Azam Abdul Rahman, Presiden WADAH Pencerdasan Umat Malaysia, yang berkongsi pandangan tentang kepentingan wanita sebagai ejen perubahan sosial dan penggerak pembangunan insan. Menurut beliau, kekuatan sesebuah bangsa terletak pada keutuhan nilai dan kebijaksanaan wanita dalam mendidik generasi serta memimpin dengan kasih sayang dan visi yang jelas. "Now is the time". Masanya telah tiba untuk umat Islam bangkit membina kekuatan dan kesatuan sejati. Demikian seruan oleh Dato' Ahmad Azam kepada semua yang hadir pada malam itu




Penghargaan Kepada Ahli Seumur Hidup SALWA (ASUH)

Salah satu acara utama malam tersebut ialah penyampaian Sijil Ahli Seumur Hidup (ASUH) kepada 20 orang ahli SALWA yang telah berkhidmat lebih daripada tiga tahun dan berumur 60 tahun ke atas. Mereka dipilih berdasarkan komitmen yang tidak berbelah bagi serta sumbangan berterusan dalam memperkukuh organisasi dan kegiatan dakwah SALWA. Pengiktirafan ini diberikan sebagai tanda penghargaan atas dedikasi, kesetiaan dan keikhlasan mereka dalam perjuangan mengangkat martabat wanita Islam di Malaysia.




Anugerah Tokoh Dakwah SALWA 2025

Kemuncak majlis dimeriahkan dengan penyampaian Anugerah Tokoh Dakwah SALWA 2025, kesinambungan daripada inisiatif yang mula diperkenalkan pada MPSK 2023. Sehingga kini, seramai tujuh tokoh telah diiktiraf, dan bagi tahun ini, tiga lagi penerima dipilih atas sumbangan luar biasa mereka dalam bidang dakwah dan pembangunan komuniti.

Antara penerima ialah Prof. Dr. Arsiah Binti Bahrun @ Bahron dari SALWA Sabah, seorang tokoh akademik dan aktivis masyarakat yang telah lama berkhidmat dalam dunia pendidikan tinggi dan komuniti. Beliau kini berkhidmat sebagai Profesor Kehormat di Universiti Selangor (UNISEL), selain memegang beberapa jawatan penting termasuk Ahli Lembaga Pengarah Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp). Dalam arena dakwah, beliau memimpin SALWA Sabah sejak tahun 2006 dan aktif dalam pelbagai organisasi kebajikan serta komuniti setempat.

Tokoh kedua, Hajah Mek @ Sharisah Binti Che Hassan dari SALWA Kelantan, merupakan lulusan Universiti Al-Azhar dalam bidang Tafsir wal Hadith. Beliau telah menerajui SALWA Kelantan sejak tahun 2000 dan kini berperanan sebagai Murrabi SALWA. Dikenali sebagai pendakwah bebas, beliau aktif menyampaikan kuliah dan membuka pondok pengajian di Rantau Panjang melalui inisiatif komuniti dan derma awam, yang kini telah berkembang kepada lebih 50 buah pondok.

Tokoh ketiga ialah Ustazah Masirah Binti Maslan dari SALWA Selangor, seorang guru agama berpengalaman yang berkhidmat di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sejak tahun 1970 hingga 2013. Kini beliau merupakan Pengerusi Muballighat JAIS dan terus aktif membimbing masyarakat melalui kuliah, usrah dan kursus ibadah. Beliau juga merupakan penulis beberapa naskhah panduan seperti Panduan Amali Solat dan Panduan Permasalahan Haji Wanita, yang memberi manfaat besar kepada masyarakat Islam khususnya golongan wanita.




Pelancaran Sahabat SALWA

Majlis turut menyaksikan pelancaran inisiatif baharu – Sahabat SALWA oleh Hajah Nordiran Idris, Pengerusi SALWA Malaysia. Sahabat SALWA merupakan jaringan sokongan dan rakan strategik kepada Pertubuhan SALWA Malaysia yang diwujudkan sebagai platform inklusif untuk menghimpunkan sukarelawan, penyokong serta masyarakat umum yang ingin bersama menjayakan visi dan misi SALWA dalam memperkasa wanita, keluarga dan masyarakat. Pelancaran tersebut disertai dengan tayangan montaj khas yang memperkenalkan peranan dan hala tuju Sahabat SALWA di seluruh negara.




Majlis Makan Malam Inspirasi Wanita Madani bukan sahaja menjadi wadah penghargaan terhadap tokoh-tokoh wanita yang telah menyumbang jasa dalam dakwah dan masyarakat, malah menjadi simbol kekuatan ukhuwah dan semangat kebersamaan dalam kalangan ahli SALWA seluruh negara. Dengan kehadiran tokoh-tokoh berwibawa, penyampaian anugerah berprestij serta pelancaran inisiatif baharu, majlis ini mencerminkan komitmen SALWA untuk terus memartabatkan wanita Islam sebagai peneraju perubahan dan penyulam peradaban ummah.


Suzana Binti Ja'afar

Teras Penerbitan, ICT & Media