ARTIKEL

SEMINAR WANITA SEJAHTERA, ANGGUN DAN WIBAWA HIMPUNKAN 300 PESERTA DI IPG TUANKU BAINUN

BUKIT MERTAJAM, 23 November 2025 (Ahad) – Seminar Wanita Sejahtera, Anggun dan Wibawa anjuran SALWA Pulau Pinang berlangsung meriah di Dewan Aminuddin Baki, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tuanku Bainun dengan kehadiran hampir 300 peserta terdiri daripada guru, warga IPG, NGO, persatuan orang pekak, persatuan ibu tunggal serta masyarakat awam.

Program yang bermula seawal jam 8.00 pagi ini turut mendapat kerjasama pelbagai agensi termasuk Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), IPG Kampus Tuanku Bainun, IPG Kampus Pulau Pinang, Koperasi Ibu Tunggal & Wanita SPT Berhad, Persatuan Orang Pekak Pulau Pinang serta Pusat Tunas Nahdah Permatang Pauh.

Seminar Tahunan IPG Tuanku Bainun

Majlis dirasmikan oleh Pengarah IPG Kampus Tuanku Bainun, Tuan Haji Mohd Fadzil Mohd Salleh, yang mengumumkan seminar ini akan dijadikan program tahunan IPG Tuanku Bainun berikutan impaknya yang positif serta sambutan peserta yang amat menggalakkan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada SALWA Pulau Pinang dan pasukan penganjur yang diketuai oleh Pn. Norhayati Abu Bakar.

Majlis turut diserikan dengan ucapan aluan oleh Pn. Hjh. Nordiran Idris, Pengerusi SALWA Malaysia.


Pengisian Ilmiah dan Perkongsian Pakar

Seminar menampilkan tokoh dan pakar profesional daripada pelbagai bidang.
Prof Madya Ts. Dr. Nur Izura Udzir dari Universiti Putra Malaysia membuka sesi perkongsian dengan mengetengahkan kesejahteraan wanita dari aspek fizikal, mental, sosial dan spiritual. Beliau menekankan bahawa keseimbangan empat elemen ini penting dalam membentuk wanita yang anggun dan berwibawa.

Perkongsian diteruskan oleh Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Dr. Jumaida Abu Bakar dari Hospital Raja Permaisuri Bainun, yang membincangkan isu obesiti serta implikasinya terhadap kesihatan wanita. Beliau memberi penekanan kepada risiko-risiko kesihatan hasil gaya hidup tidak sihat yang semakin meningkat dalam kalangan wanita.

Sesi seterusnya disampaikan oleh Dr. Lily Marina Ismail, Pakar Psikiatri Hospital Bukit Mertajam, yang mengupas masalah kesihatan mental dalam kalangan wanita termasuk stres, anxiety dan kemurungan. Beliau turut menerangkan simptom awal, faktor penyumbang serta saluran rawatan dan sokongan yang boleh diakses oleh masyarakat.

Majlis penutup program disempurnakan oleh Pn. Nor Hayati Abu Bakar, Ketua SALWA Pulau Pinang yang turut membentangkan resolusi seminar.


Dapatan dan Impak Program

Seminar ini berjaya meningkatkan kesedaran peserta mengenai kepentingan kesejahteraan menyeluruh serta memberi kefahaman jelas tentang isu obesiti dan kesannya terhadap wanita.
Selain itu, peserta memperoleh pengetahuan penting mengenai kesihatan mental dan cara mendapatkan bantuan profesional. Program ini turut mengukuhkan jaringan kerjasama antara NGO, institusi pendidikan dan komuniti wanita di negeri ini.

Kebanyakan peserta menyatakan seminar seperti ini wajar diteruskan bagi memperkasakan wanita dalam menghadapi cabaran kehidupan moden.


Lagi Gambar Program



Suzana Binti Ja'afar

Teras Penerbitan, ICT & Media