ARTIKEL

SEMINAR INSPIRASI WANITA MADANI: MENYULAM PERADABAN UMMAH

BANGI, 4 Oktober 2025 – Pertubuhan SALWA Malaysia (SALWA) telah menganjurkan Seminar Inspirasi Wanita Madani: Menyulam Peradaban Ummah bertempat di Royal Park Hotel, UNITEN, Bangi, bersempena Majlis Perwakilan SALWA Kebangsaan (MPSK) 2025. Program yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang ini menghimpunkan pimpinan dan ahli SALWA dari seluruh negara bagi memperkukuh peranan wanita dalam membina masyarakat madani berteraskan nilai Islam.

Seminar ini menampilkan tiga tokoh utama yang membicarakan pelbagai dimensi kepimpinan wanita dalam konteks keilmuan, kemasyarakatan dan keluarga.




Wanita Pemangkin Perubahan Negara

Ucapan utama telah disampaikan oleh YB. Dr. Zulkifli Hassan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), bertajuk “Peranan Wanita dalam Bidang Keilmuan dan Pembinaan Negara”.

Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa wanita memiliki peranan besar dalam sejarah Islam, bukan sekadar sebagai pendidik dan penyebar ilmu, tetapi juga sebagai pemimpin yang berwibawa. Beliau menyeru agar wanita terus diberi ruang dalam pentadbiran dan proses membuat keputusan demi membina tamadun yang berasaskan nilai dan hikmah.

Menurut beliau, wanita hari ini perlu muncul sebagai thought leaders yang memperjuangkan konsep human dignity (kemuliaan manusia) dalam membina peradaban yang lebih berakhlak dan berkeadilan. “Kita memerlukan wanita yang berilmu, berpandangan jauh dan mampu menjadi peneraju perubahan dalam masyarakat madani,” ujar beliau.




Kepimpinan Adalah Amanah Bersama

Slot kedua menampilkan Sahibus Samahah Ustaz Ahmad Fawwaz Fadzil, Mufti Wilayah Persekutuan, yang membentangkan tajuk “Fiqh al-Mizan: Wanita, Keluarga dan Masyarakat.”

Beliau menjelaskan bahawa kepimpinan merupakan tanggungjawab bersama dan bukan hanya milik mereka yang memegang jawatan. Dalam Islam, konsep mizan atau keseimbangan amat penting dalam membina masyarakat yang harmoni, adil dan berperanan secara saling melengkapi antara lelaki dan wanita.

Menurut beliau, partisipasi wanita dalam pelbagai sektor kehidupan perlu diiktiraf tanpa melihatnya sebagai persaingan dengan lelaki, tetapi sebagai kerjasama menuju kesejahteraan ummah. Ustaz Ahmad Fawwaz turut menekankan kepentingan leadership by vision – kepimpinan yang berpandangan jauh dan berasaskan hikmah serta nilai agama.




Keseimbangan Kunci Kepimpinan Wanita Muda

Sesi ketiga pula disampaikan oleh Puan Badariah Ismail, Penasihat SAFWAH-SALWA, dengan tajuk “Keseimbangan Keluarga dan Kerjaya dalam Pembinaan Kepimpinan Wanita Muda.”

Beliau menekankan bahawa keseimbangan antara tanggungjawab keluarga dan kerjaya adalah asas kepada keutuhan kepimpinan wanita. Menurut beliau, setiap wanita perlu memahami keutamaan hidup mengikut fasa berbeza, membuat keputusan berdasarkan praktikaliti dan sentiasa memperbaharui niat serta matlamat dalam setiap tindakan.

Pn. Badariah turut mengingatkan bahawa kesejahteraan hidup dan kepimpinan yang berkesan bermula dengan kemampuan seseorang untuk memberi perhatian penuh terhadap tanggungjawab yang sedang digalas. “Fokus kepada apa yang di depan mata, kerana dari situlah lahir keberkatan dan keseimbangan dalam kehidupan,” katanya.




Wanita Madani Cerminan Ummah Sejahtera

Seminar Inspirasi Wanita Madani ini telah berjaya mencapai objektif penganjurannya dengan mengetengahkan wacana ilmiah dan inspiratif yang menegaskan peranan wanita dalam kepimpinan berteraskan nilai Islam. Ia juga menjadi platform penting bagi memperkukuh ukhuwah dan jaringan kepimpinan wanita SALWA di seluruh negara.

Program ini bukan sahaja memberi pencerahan tentang tanggungjawab dan peranan wanita dalam masyarakat, tetapi turut menyeru agar lahir lebih ramai wanita yang berilmu, berprinsip dan mampu menjadi pemimpin berwawasan dalam mendukung gagasan Masyarakat Madani.


Suzana Binti Ja'afar

Teras Penerbitan, ICT & Media