BERITA

BENGKEL IBU BAPA CELIK DIGITAL PERKASA PERANAN KELUARGA MEMBINA GENERASI DIGITAL BESTARI

KOTA KINABALU, 12 September 2026 – Seramai 200 orang ahli komuniti dan guru-guru sekitar Sepanggar menyertai Bengkel Ibu Bapa Celik Digital: Memperkasa Ibu Bapa, Membina Generasi Digital Bestari yang berlangsung di Dewan Al-Munir, Kampung Darau, Manggatal, Kota Kinabalu.

Bengkel yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 12.30 tengah hari ini merupakan satu inisiatif kolaboratif yang menghimpunkan pelbagai pihak dalam usaha memperkukuh literasi digital dalam kalangan ibu bapa, guru dan komuniti, khususnya dalam mendepani cabaran penggunaan teknologi dalam kehidupan seharian.

Program ini dianjurkan dengan kerjasama SALWA Sabah, P171 Parlimen Sepanggar, Persatuan Sukarelawan dan Kebajikan Wanita Sabah, Persatuan Fikrah Ummah Medika Sabah, Sahabat Penggerak MADANI serta Akademi Kenegaraan Malaysia Sabah.

Penganjuran bengkel ini memberi penekanan kepada peranan ibu bapa dan komuniti sebagai pembimbing utama generasi muda dalam membentuk penggunaan teknologi yang selamat, beretika dan bertanggungjawab. Perkembangan pesat teknologi digital dan media sosial menjadikan keupayaan memahami serta membimbing anak-anak dalam persekitaran digital semakin penting.

Antara objektif utama program adalah untuk meningkatkan keupayaan ibu bapa dalam membimbing anak-anak menggunakan internet dan peranti digital, meningkatkan kesedaran berkaitan keselamatan siber dan perlindungan maklumat peribadi serta memberi pendedahan terhadap cabaran penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Peserta turut diberikan pendedahan mengenai kaedah menilai kesahihan maklumat yang diperoleh daripada internet bagi membina keupayaan berfikir secara kritis dalam menghadapi lambakan maklumat digital. Pendekatan ini turut menyokong usaha membentuk budaya penggunaan teknologi yang positif dan bertanggungjawab dalam keluarga serta masyarakat.

Sepanjang program, peserta mengikuti beberapa pengisian utama yang bersifat interaktif dan praktikal, termasuk Aktiviti Interaktif tentang Dunia Digital, perkongsian Dunia Anak Digital dan Amanah Bersama dalam Dunia Digital, serta Bengkel Navigasi Bijak Digital.

Pengisian tersebut memberi ruang kepada peserta untuk memahami realiti kehidupan generasi digital, mengenal pasti cabaran yang dihadapi oleh kanak-kanak dan remaja dalam penggunaan teknologi serta memperkukuh kemahiran ibu bapa dan guru dalam memberikan bimbingan yang bersesuaian.

Majlis turut diisi dengan perasmian penutup oleh YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).

Penyertaan yang menggalakkan dalam program ini memperlihatkan keperluan terhadap usaha berterusan untuk meningkatkan literasi digital dalam kalangan keluarga dan komuniti. Program seumpama ini bukan sahaja memberi pengetahuan, malah membantu membina keyakinan ibu bapa dan guru dalam memainkan peranan sebagai pendamping serta pembimbing anak-anak dalam persekitaran digital.

Secara keseluruhannya, Bengkel Ibu Bapa Celik Digital memberi impak melalui peningkatan pengetahuan, kesedaran dan keyakinan peserta dalam membimbing anak-anak menghadapi dunia digital. Peserta turut didedahkan kepada kepentingan keselamatan, tanggungjawab dan pembentukan budaya penggunaan teknologi yang positif.

Inisiatif ini seterusnya menyumbang kepada pembentukan ekosistem pendidikan digital yang selamat, inklusif dan beretika, di samping memperkukuh sinergi antara ibu bapa, guru, komuniti dan pelbagai pihak berkepentingan dalam memastikan generasi muda dapat memanfaatkan teknologi secara bijaksana.

Usaha memperkasa keluarga melalui literasi digital juga selari dengan komitmen SALWA dalam menyokong pembangunan wanita, keluarga dan komuniti yang berilmu, berdaya tahan serta bersedia menghadapi perubahan semasa.

SALWA – Wanita Pencerdas Umat.

Datin Rosnih Nasir

Teras Wanita, Keluarga dan Sosial