Salam Ma’al Hijrah 1448H
Salam Ma’al Hijrah 1448H
Hijrah bukan sekadar perpindahan langkah, tetapi perubahan jiwa menuju Allah. Ia menuntut pengorbanan, kesabaran dan keberanian meninggalkan kebiasaan dan keselesaan yang menghalang kebaikan.
Menurut Hamka, hijrah yang sebenar bukan hanya berpindah tempat, tetapi berpindah daripada kelemahan kepada kekuatan, daripada kelalaian kepada kesedaran, dan daripada kehidupan yang biasa kepada kehidupan yang lebih dekat dengan Allah.
Hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat adalah sirah tauhidik dan kasih sayang. Berhijrah dari kota Mekah ke Madinah. Demi mempertahankan aqidah dan membangunkan negara Islam.
Firman Allah SWT:وَالَّذِينَ هَاجَرُوا فِي اللَّهِ مِن بَعْدِ مَا ظُلِمُوا لَنُبَوِّئَنَّهُمْ فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ۖ وَلَأَجْرُ الْآخِرَةِ أَكْبَرُ ۚ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ“Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya (ditindas oleh musuh-musuh Islam), Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya yang baik; dan sesungguhnya pahala (amal mereka yang baik itu) lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahui”(Al-Nahl: 41)
Khutbah Baginda SAW ketika sampai ke Kota Madinah : “Wahai manusia, sebarkanlah salam, berilah makan, solatlah dikala manusia sedang tidur pada waktu malam, nescaya kamu akan masuk syurga dengan sejahtera”.
Riwayat al-Tirmizi.
Masyarakat Madani dibina atas asas pengorbanan, daya juang, kasih sayang, ihsan, keyakinan kepada rezeki, tanggungjawab keagamaan dan perintah ilahi.
Hijrah dan Madani perlu dihayati dan diaplikasikan dalam kehidupan dimana keluarga diperkukuh, masyarakat bersatu dalam rasa kesyukuran yang mendalam atas nikmat yang telah dikurniakanNya, agar kita tidak kufur sehingga mengundang azab Allah.
Semoga semangat hijrah terus menggerakkan kita menjadi insan yang lebih baik, demi agama, bangsa dan negara. Kita adalah Muhajirin dan Ansar. Menjadi muhajirin yang sentiasa berhijrah mencari yang terbaik di sisiNya dan menjadi ansar yang sentiasa berjiwa dengan kasih sayang demi persaudaraan dan agama Islam.
Madani Dihayati, Ummah Diberkati
Salam Ma’al Hijrah
Daripada
Pertubuhan SALWA Malaysia
#HijrahLebihBaik
#hijrah
#cerdaswanitacerdasumat