BERITA

MAJLIS APRESIASI 3 GENERASI RAIAKAN KESINAMBUNGAN LEGASI PERJUANGAN DAKWAH

BANGI, 26 September 2026 – Majlis Makan Malam Apresiasi 3 Generasi: Menyambung Legasi Perjuangan yang menghimpunkan keluarga besar WADAH, ABIM dan PKPIM telah berlangsung di Bangi Avenue Convention Center (BACC), sebagai menyantuni tiga generasi penggerak dakwah serta meraikan kesinambungan perjuangan antara generasi.

Majlis anjuran bersama WADAH, ABIM dan PKPIM tersebut turut menghimpunkan delegasi The Union of NGOs of the Islamic World (UNIW) yang hadir bagi memeriahkan acara serta memperkukuh hubungan dalam jaringan gerakan Islam di peringkat antarabangsa.

Majlis turut dihadiri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia dan mantan Presiden ABIM, yang menyatakan kesyukuran dapat bertemu semula dengan sahabat-sahabat lama serta keluarga besar gerakan yang pernah bersama-sama melalui pelbagai fasa perjuangan.

Dalam ucapan beliau, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengimbau kembali pemikiran Almarhum Dr Siddiq Fadzil mengenai hakikat kebangkitan Islam yang tidak seharusnya hanya digerakkan oleh ledakan semangat, emosi dan sentimen, sebaliknya perlu dibina atas kekuatan ilmu yang mampu menyedarkan dan menginsafkan.

Beliau turut menekankan bahawa gerakan kesedaran atas nama Islam perlu berpaksikan tradisi akliah dan idealisme, serta diterjemahkan melalui pelaksanaan perjuangan yang berteraskan prinsip. Semangat perjuangan perlu disertai akhlak dan adab, bukan didorong oleh kebencian, fitnah atau cacian.

Dalam konteks pembinaan gerakan, beliau turut menyentuh kepentingan usrah serta kesinambungan tradisi keilmuan dan turath Islami sebagai asas yang dapat membimbing pemikiran dan gerak kerja perjuangan.

Pada masa yang sama, perjuangan membanteras rasuah, menentang pemikiran takfiri dan membasmi kemiskinan tegar perlu terus diberi perhatian. Namun, usaha tersebut perlu dilaksanakan dengan hikmah, adab, akhlak serta penghormatan terhadap kepelbagaian masyarakat dan kebangsaan.

Majlis Apresiasi 3 Generasi ini mencerminkan kepentingan kesinambungan antara generasi dalam memastikan pengalaman, ilmu, nilai dan idealisme perjuangan terus diwariskan kepada generasi seterusnya. Pertemuan tersebut turut menjadi ruang untuk memperkukuh silaturahim serta menghargai sumbangan para penggerak yang telah mewarnai perjalanan dakwah dan pembangunan masyarakat.

Bagi SALWA Malaysia, kesinambungan legasi antara generasi merupakan elemen penting dalam membina kepimpinan wanita yang berilmu, berakhlak dan berwibawa serta mampu meneruskan sumbangan kepada agama, masyarakat dan negara.

Majlis ini diharapkan terus menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan generasi penggerak dakwah dan memperkukuh tekad untuk meneruskan perjuangan dengan ilmu, akhlak, idealisme dan khidmat kepada masyarakat.

SALWA – Wanita Pencerdas Umat.

Suzana Binti Ja'afar

Teras Penerbitan, ICT dan Multimedia