BERITA

MPSK KE-7 2026 PERKUKUH GERAK KERJA SALWA DAN HALA TUJU DAKWAH BERSTRATEGI

SERDANG, 25 September 2026 – Pertubuhan SALWA Malaysia telah menganjurkan Majlis Perwakilan SALWA Kebangsaan (MPSK) ke-7 2026 yang berlangsung di Dewan Besar, Universiti Putra Malaysia (UPM), pada 25 September 2026.

Majlis yang menghimpunkan lebih 150 orang pemerhati dan perwakilan SALWA dari seluruh negara itu menjadi medan penting bagi membentang, menilai dan melakukan muhasabah terhadap pencapaian serta perkembangan gerak kerja SALWA di peringkat pusat dan negeri bagi tempoh 2025 hingga 2026.

Antara pengisian utama MPSK ke-7 ialah Persidangan Majlis Perwakilan SALWA Kebangsaan, sesi penggulungan oleh wakil-wakil SALWA dari seluruh Malaysia dan SALWA Pusat, serta penggulungan dan amanat oleh Pengerusi SALWA Malaysia, Puan Hajah Nordiran Idris.

Dalam amanatnya, Puan Hajah Nordiran Idris menegaskan bahawa persidangan bukan sekadar menjadi agenda tahunan organisasi, sebaliknya merupakan medan untuk melakukan muhasabah, menyatukan fikrah dan memperbaharui tekad dalam melaksanakan amanah dakwah.

Berteraskan tema “Dakwah Berstrategi, Kepimpinan Berwibawa, Impak Terbina”, beliau menggariskan keperluan SALWA untuk memperkukuh hubungan antara dakwah dan daulah, membangunkan kepimpinan wanita Islam yang berilmu serta berwibawa, dan memperkukuh perancangan strategik yang berorientasikan impak.

Beliau turut menekankan bahawa pendekatan dakwah perlu terus berkembang selari dengan perubahan persekitaran semasa, termasuk memanfaatkan ruang digital sebagai salah satu medium penyampaian dan penggerak dakwah. Dalam masa yang sama, nilai pengorbanan, ihsan, tabayyun serta pembinaan pelapis perlu terus diperkasakan bagi memastikan kelangsungan gerakan.

Menurut beliau, setiap program SALWA juga perlu mempunyai hubungan yang jelas dengan misi organisasi serta disokong oleh sasaran dan ukuran keberhasilan yang boleh dinilai. Kejayaan tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan jumlah program yang dilaksanakan, tetapi melalui perubahan dan manfaat yang terhasil kepada wanita, keluarga, masyarakat dan negara.

MPSK ke-7 2026 turut memberikan ruang kepada para perwakilan untuk melihat secara menyeluruh perkembangan gerak kerja SALWA sepanjang tempoh 2025-2026, selain membincangkan isu, pencapaian dan keperluan penambahbaikan di peringkat negeri dan pusat.

Persidangan ini seterusnya memperkukuh kesepakatan dan kefahaman bersama dalam kalangan kepimpinan serta perwakilan SALWA seluruh negara untuk meneruskan gerak kerja secara lebih tersusun, strategik dan berimpak.

Penganjuran MPSK ke-7 2026 diharapkan menjadi landasan penting dalam memperkukuh kesinambungan gerakan SALWA, memperkasa kepimpinan wanita serta memastikan setiap usaha yang dilaksanakan terus memberikan sumbangan bermakna kepada pembangunan wanita, keluarga, masyarakat dan negara.

SALWA – Wanita Pencerdas Umat.

Suzana Binti Ja'afar

Teras Penerbitan, ICT dan Multimedia